Lukisan dan Hati Manusia

Seorang pelukis telah menyiapkan satu lukisan pemandangan yang sangat cantik. Kemudian, si pelukis berhasrat untuk mengetahui tanggapan orang ramai terhadap lukisannya itu.

Si pelukis kemudiannya meletakkan lukisannya di satu jalan yang dilalui oleh  ramai orang. Pada bahagian bawah lukisannya terdapat nota yang ditulisnya :"Ini adalah lukisan saya. Mungkin ada beberapa kesalahan pada lukisan ini. Tolong berikan tanda X pada bahagian yang anda rasa mempunyai kesalahan."

Pada keesokannya, dia kembali ke jalan tersebut untuk mengambil lukisannya. Ketika melihat lukisannya,
dia sangat terkejut kerana seluruh lukisannya dipenuhi dengan tanda X dan komen-komen sinis. Lalu, dia merasakan bahawa dirinya adalah pelukis yang gagal. Dengan perasaan sedih, dia datang kepada gurunya. Si guru mengatakan bahwa hal tersebut tidak menunjukkan bahawa dia merupakan seorang pelukis yang gagal dan guru tersebut menunjukkan cara untuk membuktikan bahwa dia bukanlah pelukis yang gagal.

Si guru meminta muridnya itu menghasilkan semula lukisan yang penuh coretan tersebut. Tetapi, pada bahagian bawahnya tertulis : "Saya telah membuat lukisan ini. Mungkin ada kesalahan pada lukisan ini. Tersedia kanvas, cat dan berus. Mohon berbaik hati untuk memperbaikinya". Lukisan diletakkan kembali di jalan yang sama.

Pada esok harinya, dia kembali dan ternyata lukisannya tetap bersih tanpa satupun coretan. Lukisan tersebut dibiarkan selama 3 hari di jalanan tersebut, hasilnya tetap sama, lukisan tetap bersih tanpa satu goresan.


Pengajaran yang diambil dari cerita ini:
- Mengkritik dan menyalahkan orang lain memang mudah, namun memperbaiki sekaligus memberikan penyelesaian terbaik itu yang sukar
- Sememangnya sudah menjadi kebiasaan untuk manusia mencari kesalahan dan kelemahan berbanding melihat kepada kebaikan orang lain. 
- Ambilah kritikan sebagai cara untuk lebih maju dan cara untuk memperbaiki kelemahan. Tidak semua kritikan adalah benar. Pasti ada yang berniat untuk menjatuhkan anda. Itulah realiti. 

Comments