Janggut Sejemput
Mengikut peratusan berdasarkan kaji selidik yang pernah dilakukan, lelaki memang satu golongan yang kuat dari aspek personaliti dan identiti diri. Meskipun ada yang tidak sedar akan keadaan itu, lumrahnya lelaki memang punya kredibiliti diri yang ditonjolkan pada karakter dan gayanya.
Hal ini termasuk pada cara mereka mengenakan sesuatu imej dan pakaian juga gaya mempersiapkan diri untuk menunjukkan diri mereka. Jika lelaki itu jenis yang gemar bergaya dan mengikuti perkembangan fesyen, lekas kita melabelkannya ‘metroseksual’ dan begitu juga sebaliknya.
Bagaimana dengan cara menguruskan imej pada wajah juga menceritakan personalitinya. Janggut dan misai adalah sesuatu kelebihan yang ada pada lelaki dan tidak pada wanita.
Jika misai seseorang itu lebat dan tidak dijaga rapi, ia menunjukkan lelaki itu jenis yang ‘asal boleh’ dan tidak mengambil peduli soal ketrampilan melainkan adanya misai itu menunjukkan lebih maskulin pada imejnya.
Begitu juga janggut yang sepatutnya dijaga kemas, jangan terlalu panjang dan tidak juga terlalu sedikit hingga orang menggelarkan ‘sejemput macam kambing’. Tapi ada jenis wanita yang tertarik dengan lelaki yang punya janggut panjang di usia muda kerana berpendapat lelaki jenis ini adalah berjiwa seni, penyayang dan punya karakter tersendiri, baik dalam membuat keputusan mahupun cara hidupnya.
Ada betulnya pandangan itu tapi sebaiknya kepada lelaki yang sememangnya sudah menyimpan janggut, janganlah terlalu selekeh kerana ia mengundang rasa kurang selesa pada mata sekeliling.
Tidak salah ada janggut tapi biarkan ia rapi dan kemas.
Sedikit petua dan langkah bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah berlaku ketika bercukur khusus buat lelaki adalah jika ingin bercukur pada waktu pagi, biarkan kulit wajah rehat sekurang-kurangnya bagi 10 minit selepas bangun daripada tidur, Kemudian, cuci wajah anda dengan pencuci wajah pilihan. Selain membantu menghilangkan sel kulit mati, proses membersihkan wajah bertindak membuka liang roma dan melembutkan kulit di sekitar misai dan janggut.
Selesai membersih wajah, aturan baik yang boleh dipraktikkan ialah melekapkan tuala panas di bahagian yang hendak dicukur. Seterusnya, gunakan berus khas yang disapu krim pencukur sebelum diratakan di bahagian yang hendak dicukur dengan cara berputar.
Selain menghasilkan buih yang lebih banyak, kelebihan rutin ini ialah ia menyumbang kepada proses bercukur yang lebih selesa dan nyaman. Sebelum bersedia untuk bercukur, pastikan mata pisau adalah tajam untuk kesan cukuran paling berkesan.
Seeloknya mata pisau tidak digunakan lebih daripada seminggu. Ini kerana ia tidak lagi mampu memberi cukuran licin. Pastikan kedudukan bercukur mengikut satu aliran saja. Jangan sesekali menekan atau menggores kulit secara kasar.
Lakukan secara perlahan-lahan sebelum membilas dengan air sejuk. Selesai bercukur dan membilas bersih, langkah seterusnya ialah menyapu penyegar dan pelembap yang dapat mengembalikan lembapan kulit kering kesan daripada cukuran.
Comments
Post a Comment