Kisah Pensel dan Pemadam


Pensel : Saya minta maaf.

Pemadam : Untuk apa? Awak tak buat salah pun.

Pensel : Saya minta maaf disebabkan saya, awak cedera. Setiap kali saya buat silap, awak pasti berada di situ untuk membetulkan kesilapan saya. Tapi setiap kali awak memadam kesilapan saya, awak kehilangan sebahagian dari diri awak. Awak menjadi semakin kecil.

Pemadam : Itu betul, tapi saya langsung tak kisah tentangnya kerana saya dibuat untuk membetulkan kesilapan yang awak buat. Walaupun suatu hari nanti saya tahu yang saya pasti akan hilang, saya berbangga dengan kerja saya ini. Jadi janganlah risau. Saya cuma tidak mahu melihat awak bersedih.


#Pemadam itu diibaratkan sebagai ciri seorang sahabat yang baik. Seorang sahabat tidak hanya menemani kita mengeluh tanpa berbuat apa-apa. Tetapi dialah yang memulihkan keadaan dengan membantu kita sedaya upanya.

Ada hubungan persahabatan yang terputus kerana teguran salah seorang sahabatnya supaya menutup aurat atau berbuat baik. Ada persahabatan yang terlerai kerana tidak bersefahaman dan berlainan parti politik.

Dalam cerita lain, ada yang memutuskan persahabatan kerana kawannya itu tidak mahu ‘melepak’ bersama kerana ingin berubah. Masih banyak kisah persahabatan yang terputus kerana hal dan perkara kecil.

Rasulullah s.a.w bersabda;
“Mahukah aku tunjukkan pada kalian tentang sesuatu yang darjatnya lebih utama daripada solat, puasa, sedekah?”

Para sahabat menjawab,
“Mahu, wahai Rasulullah!’

Baginda s.a.w menjawab,
“Perbaiki pergaulan, kerana rosaknya hubungan baik bererti mencukur, aku tidak mengatakan mencukur rambut, tapi mencukur agama.”Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Comments