JANGAN MEMBUDAYAKAN BERHENTI BELAJAR

Kalau ada orang yang gagal SPM atau mana-mana peperiksaan datang kepada aku, aku akan kata, “It’s okay. Rezeki Allah itu luas. Bukan sekadar pada peperiksaan sahaja. Mana-mana peperiksaan pun bukanlah penentu pintu rezeki mutlak.”
Tetapi, aku tidak sekali-kali akan menggalakkan mana-mana individu supaya belajar main-main atau tidak mengejar kelulusan akademik. Apatah lagi untuk merendahkah pihak lain yang berusaha mendapat pengiktirafan akademik secara sah.

Akhir-akhir ini, ada segelintir peniaga dan ikon di media sosial seolah-olah menggalakkan berhenti mengejar kelulusan akademik jika berminat untuk meniaga. Seolah-olah ia buang masa dan tidak penting langsung dalam perniagaan. Aku tidak setuju dengan doktrin tersebut. Bagi aku, ia racun yang berbahaya dan memusnahkan.

Dalam kes ini, pastinya nama Mark Zuckerberg dan Bill Gates akan selalu digunakan. Betul, pengasas Facebook dan Microsoft itu dropout. Tetapi mereka berdua telah layak ke Harvard! Bukan calang-calang universiti. Malah, mereka meninggalkan pengajian tinggi setelah melihat potensi yang sangat meyakinkan pada sistem rangkaian sosial dan perisian yang diasaskan oleh mereka. Lagipun, adakah kalian rasakan Facebook dan Microsoft akan menjadi seberjaya sekarang jika mereka mengambil semua pekerja dropout ke dalam syarikat mereka? Tidak. Jadi, cukuplah jadikan Mark Zuckerberg dan Bill Gates buah hujah dalam perkara ini. Itu kes satu dalam berjuta.

Aku faham ramai yang nak jadi kaya, dan tidak dinafikan perniagaan adalah jalan yang paling popular bagi tujuan tersebut. Bagi yang telah berjaya menggapai cita-cita menjadi kaya tanpa perlu melalui jalan akademik, tahniah. Tetapi bukan semua akan bernasib baik sebegitu. Lihatlah pada statistik. Dalam kalangan orang kaya itu sendiri lebih ramai yang belajar tinggi. Lihat saja laporan oleh Forbes. 84% daripada 400 orang terkaya di USA mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan sarjana muda.
Yang aku lihat, mereka yang selalu berkempen agar tidak perlu sambung belajar ini seolah-olah perlukan validasi atas kesilapan diri mereka sendiri. Mereka seolah-olah tidak akan merasa lega melainkan ramai turut serta membuat keputusan seperti mereka. Kalian harus kuat dan tidak terpengaruh.

Percayalah, di dalam hati kebanyakan mereka, mereka tahu kelulusan akademik itu penting.

Buktinya?
Jika kelulusan akademik tidak penting bagi peniaga, tidak akan adalah ikon-ikon yang mengaku berjaya di dalam perniagaan yang akhirnya membeli kelulusan akademik palsu. Bukan seorang dua, malah ramai yang tidak perlu disebutkan namanya. Sampai beberapa kali membeli kelulusan doktor falsafah yang palsu. Malah masih juga tidak insaf walaupun banyak kali didedahkan kepalsuannya. Mereka sanggup juga berterusan melakukan penipuan ini kerana mereka tahu kelulusan akademik itu penting.

Kenapa ia penting? Untuk keyakinan manusia. 

Dengan ilmu, datangnya keyakinan masyarakat terhadap seseorang. Gelaran Doktor, Ir, Ar, Prof, dan sebagainya ini asalnya bukanlah diwujudkan untuk pangkat dan darjat. Ia penjelmaan daripada sebuah kerangka disiplin ilmu yang perlu dilalui seseorang. Sistem ini telah disusun dan berevolusi selama ratusan tahun agar ahli dunia akademia boleh mengenal pasti kekuatan kenyataan ilmiah seseorang itu dengan mudah: hanya dengan gelarannya. Tetapi kini, gelaran ini telah dicabul oleh golongan yang terlambat menyedari kepentingan kelulusan akademik lalu menggunakan jalan pintas: penipuan.

Baik ahli politik, ahli perniagaan, pendakwah, malah yang sedihnya dalam bidang penulisan sendiri pun ada yang berbohong gelaran akademik demi kredibiliti palsu. Semua ini terlibat dalam memusnahkan struktur institusi akademik yang dibina oleh tamadun manusia selama ini. Mereka telah membunuh reputasi ribuan malah jutaan ilmuan & mahasiswa yg berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan ke atas ilmu mereka.

Selepas itu, tergamak pula untuk berkempen supaya tidak ke kolej, universiti, sekolah, dan sebagainya. Kononnya ‘univerisiti jalanan’ atau ilmu yang diperoleh daripada kehidupan itu lebih penting. Walhal, semua manusia yang bernyawa di dunia ini secara automatik akan melalui proses ilmu tersebut. Tidak ada pengecualian. Yang dibicarakan sekarang ialah kelulusan akademik secara formal.

Penipuan, kecurangan, dan pemalsuan yang akhirnya akan memusnahkan ketamadunan manusia. Kemusnahan ini berlaku salah satunya akibat doktrin ‘belajar ini hanya membazir masa’ yang sering dikempenkan. Aku menentang dakyah tersebut.

Buat adik-adik yang terdetik untuk berhenti belajar kerana terjentik dek doktrin tersebut di media sosial, anggaplah saya ini diri kalian dari masa hadapan. Kerana saya juga pernah berada di tempat kalian. Saya pernah betul-betul hampir tidak mahu menyambung pengajian tinggi kerana terkabur dengan wang keuntungan hasil perniagaan. 

Percayalah adik-adik, kelulusan akademik ini penting. Proses pembelajaran formal ini penting. Nilainya lebih besar dari kerangka keuntungan material semata-mata. Cara pembawakan diri golongan yang terpelajar pun sudah ketara perbezaannya. Itu belum lagi saya senaraikan perkara-perkara lain. Saya tidak mahu kalian membuat keputusan separa matang lalu menyesal dan tidak boleh perbaikinya lagi.

Saya akui zaman kalian ini cabarannya berbeza dengan zaman saya. Saya ingat lagi zaman saya dahulu, Dr Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17A SPM diambil untuk mengiklankan satu produk alat tulis. Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan pertama negara pula tidak perlu disebut berapa banyak produk yang menjadikan beliau sebagai ‘muka’. Mereka itulah ‘influencer’ pada zaman saya. Ramai anak muda hendak menjadi seperti mereka. Berbeza benar dengan ‘influencer’ semasa. Zaman kalian ini unik.

Pesan saya, jangan berhenti mengejar kelulusan akademik dengan saluran yang betul. MELAINKAN, kalian ada rancangan yang betul betul betul betul betul lebih baik dan meyakinkan untuk kebaikan diri dan masyarakat.

Jika kita kaya dengan wang, kita boleh berkongsi. Tetapi wang itu akhirnya akan kehabisan. Jika kita kaya dengan ilmu dan kredibiliti, sebanyak mana ia digunakan pun, ia tetap ada bersama kita. Tidak akan kehabisan. Malah semakin mekar. Sehinggalah Allah menarik kembali fungsi otak kita.

Hentikan motivasi sampah ‘pembelajaran formal tidak penting’.

Sekian.

Teme Abdullah.

Comments